Rabu, 13 Mei 2020

Percutian ke Cherating, Pahang

          Pada cuti akhir tahun yang lalu, saya dan keluarga telah pergi ke Cherating untuk percutian Hari Keluarga. Cherating merupakan salah satu lokasi pelancongan yang menarik di negeri Pahang. Ia merupakan antara tempat peranginan yang sangat popular di Malaysia kerana mempunyai pantai dan keindahan alam semulajadi yang cantik serta kemudahan penginapannya yang menarik dan selesa. Banyak pengalaman dan pelajaran yang menarik yang saya hendak kongsikan sepanjang percutian saya di Cherating. Benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.

The Journey: Batang Kali - Genting - Karak - Cherating 

          Pada tanggal 18 Disember, kami bertolak dari Pontian, Johor sekitar jam 3 pagi dan tiba di tempat penginapan, 'Holiday Villa Beach & Resorts Cherating' pada hari yang sama lebih kurang jam 12.30 tengahari. Setibanya kami di tempat penginapan, hampir semua saudara-mara telah tiba. Hari Keluarga ini dikelolakan oleh kakak dan abang kepada ibu saya serta sepupu-sepupu. Saya sangat teruja melihat keindahan resort ini yang berkonsepkan perabot jati dan dilengkapi dengan kolam renang, spa, bilik karaoke, kafeteria dan banyak kemudahan lain. Bilik penginapan saya dan keluarga sangat cantik, selesa dan bersih. Pemandangan di resort ini juga sangat menenangkan, dipenuhi dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan dan berdekatan dengan pantai.

Holiday Villa Cherating 
Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating, Kuantan Resort Price ... Holiday Villa Beach Resort And Spa Cherating: Deals & Booking ... Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating in Kuantan | Hotel ... Best Price For Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating, Kuantan ... Holiday Villa Cherating LaVilla by Holiday Villa Cherating in Cherating, Kuantan, Pahang  

          Pada keesokan harinya, kami berpakaian sukan untuk aktiviti pertama Hari Keluarga iaitu sukaneka. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan semasa sukaneka ialah mengasingkan benda dalam bungkusan, lari dalam guni, memakaikan tudung untuk ibu, melukis potret ibu atau bapa, mencari gula-gula dalam tepung, kerusi beracun, berlari sambil membawa bola ping pong di dalam sudu, dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti sukaneka ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori kanak-kanak dan kategori dewasa. Saya dan keluarga berjaya memenangi beberapa aktiviti sukaneka dan memperolehi 5 buah hamper. 

  


          Setelah berakhir semua aktiviti sukaneka, ayah mengajak kami sekeluarga untuk pergi ke Pusat Penetasan Penyu Rimbun Dahan yang terletak di muara Sungai Pak Siak di bahagian utara 'The Kasturi Resort'. Pusat Penetasan Penyu Rimbun Dahan ini bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya memelihara kewujudan penyu dan dalam masa yang sama membantu melindungi haiwan penyu ini daripada ancaman kepupusan. Pada jam 5.30 petang, para pengunjung yang hadir di Pusat Penetasan Penyu Rimbun Dahan ini berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman melepaskan penyu ke laut. Tetapi sayang sekali, saya dan keluarga tidak berkesempatan merasai pengalaman melepaskan anak-anak penyu ke laut dek kekangan masa dan pengunjung yang agak ramai ketika itu. Dalam perjalanan pulang ke resort, ibu saya mencadangkan kepada ayah untuk berhenti singgah di kedai yang menjual sata. Sata ialah sejenis makanan yang berasaskan ikan dan dibungkus dengan daun pisang. Sata ini dimasak dengan cara memanggang. Saya sangat menggemari makanan ini.

Rimbun Dahan Turtle Sanctuary Rimbun Dahan Turtle Sanctuary 
Aktiviti menarik di Cherating cuti dengan anak-anak 

 Dimana Nak Cari Satar Paling Sedap di Selangor? | Travelholicmy Sata ... saya punya Sata lempeng. Lempeng sata pun boleh. | Spicy ...

          Pada hari terakhir percutian saya dan keluarga, kakak-kakak saya telah mencadangkan untuk kami sekeluarga pergi mencanting batik di 'Limbong Art'. 'Limbong Art' terletak di Kampung Cherating Lama dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Kakak-kakak saya sangat teruja ketika sampai di 'Limbong Art' dan mereka berhasrat untuk cuba mencanting batik sendiri. Tetapi hasrat kakak-kakak saya tidak kesampaian kerana tuan kedai memberitahu bahawa masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan sehelai batik ialah tidak kurang daripada 3 jam. Sedangkan kami cuma ada masa dalam 1 jam sahaja untuk melawat 'Limbong Art' ini kerana kami sampai agak lewat di tempat ini dan perlu 'check-out' daripada tempat penginapan sebelum jam 1 petang.

Limbong Art Sdn, batik class - Picture of Limbong Art Sdn, batik ... Limbong Art shop | Photo 
Limbong Art Sdn, batik class (Cherating) - 2020 All You Need to ...

            Setelah selesai di 'Limbong Art', kami sekeluarga bergegas pulang ke resort untuk mengemas pakaian, menikmati makan tengahari bersama semua ahli keluarga dan 'check-out' dari resort tersebut. Banyak perkara yang saya belajar sepanjang percutian kali ini, antaranya ialah tanggungjawab dalam memelihara haiwan-haiwan yang diancam kepupusan seperti penyu, kepentingan mempelajari seni dan budaya masyarakat setempat, dapat belajar dialek percakapan masyarakat di sini dan sentiasa menghargai setiap detik masa yang diluangkan bersama ahli keluarga yang tersayang. 

          Sebelum saya mengakhiri perkongsian percutian saya di Cherating ini, besar harapan saya agar anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah memupuk sikap ingin mempelajari seni kraftangan batik supaya seni warisan bangsa ini sentiasa relevan dan diingati sepanjang zaman. Selain itu, ibu bapa juga perlu memberi galakkan kepada anak-anak untuk mencuba makan makanan tradisional dan mempelajari bahasa pertuturan masyarakat di negeri-negeri di Malaysia supaya kita lebih peka tentang budaya setempat dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. 

Terima kasih.